Kawalan ke atas Eksekutif Bundestag

Tugas penting seterusnya yang dijalankan oleh Bundestag ialah mengawal badan pemerintah.

Ucapan dan kehadiran

Selain daripada ahli-ahli Bundestag, ahli-ahli kerajaan dan juga Bundesrat memiliki hak untuk berucap dalam sesi persidangan Bundestag. Malah ucapan ini harus diikuti oleh ahli-ahli Bundestag. Namun, ahli-ahli kerajaan kadangkala diwakili oleh wakil-wakil mereka seperti jurucakap kementerian manakala ahli-ahli Bundesrat jarang sekali menghadiri persidangan Bundestag kecuali apabila isu-isu berkaitan negeri-negeri dibahaskan. Pada masa yang sama, Bundestag diberikan hak untuk memanggil sekurang-kurangnya wakil kerajaan (terutamanya canselor) hadir ke sesi soal jawab di peringkat persidangan mahupun jawatankuasa. Kewajipan ini membantu ahli-ahli Bundestag mengenakan kawalan ke atas kerajaan terutamanya dengan menyoal dasar-dasar kerajaan.

Soalan

Salah satu alat penting dalam pekerjaan Bundestag ialah hak menyoal dan disoal. Secara umum terdapat dua jenis soalan yang boleh diajukan oleh ahli-ahli Bundetag iaitu soalan bertulis dan lisan. Soalan bertulis dipecahkan lagi kepada dua, iaitu soalan ringkas dan utama. Soalan ringkas biasanya berkaitan urusan kerajaan. Namun, lazimnya soalan bentuk ini menanyakan topik membabitkan kawasan parlimen atau setempat dan juga isu-isu kecil yang khusus. Soalan bentuk ini jarang sekali dicetak walaupun ianya wajib dijawab secara bertulis. Soalan utama pula selalunya digunakan untuk memohon perbahasan di dalam parlimen. Soalan ini yang kebasannya diajukan oleh pembangkang, menuntut kerajaan menyatakan kedudukan mereka dalam sesuatu isu persekutuan. Ia biasanya dilakukan secara bertulis dan boleh dilakukan setelah mendapat persetujuan sekurang-kurangnya 5% keahlian dewan atau sesebuah kumpulan parlimen.

Di samping itu, soalan lisan boleh diajukan ahli-ahli parlimen sewaktu sesi soal jawab kepada pihak kerajaan. Jika masa yang diperuntukkan tidak mencukupi, jawapan lisan ini harus dijawab secara bertulis pada keesokan harinya. Kadangkala soalan bertulis (mahupun soalan lisan yang tidak berjawab di parlimen) akan dibincangkan sewaktu mesyuarat kabinet dan jawapannya diberikan sewaktu sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut.

Jawatankuasa penyiasatan

Satu jawatankuasa penyiasatan peringkat parlimen boleh ditubuhkan setelah mendapat permintaan daripada sekurang-kurangnya satu perempat daripada keahlian Bundestag. Jawatankuasa ini diberi tugas menyiasat satu-satu isu yang mesti dijelaskan sewaktu permohonan dibuat. Jawatankuasa parlimen bagi pertahanan adalah sebenarnya berbentuk jawatankuasa penyiasatan.

Jawatankuasa jenis ini adalah berbeza daripada jawatankuasa parlimen yang lain kerana ia hanya ditugaskan menyiasat satu isu yang dinyatakan dalam satu tempoh yang telah dipersetujui. Peluang sebegini seringkali digunakan oleh pihak pembangkang bagi memalukan kerajaan kerana pembentukannya tidak boleh dihalang oleh majoriti. Malah kuasanya adalah sama dengan kuasa yang diperuntukkan kepada jawatankuasa parlimen terutamanya untuk memaksa kehadiran ahli-ahli kerajaan termasuk kakitangan persekutuan. Namun, hak ini hanya dilakukan apabila satu-satu insiden mencurigakan diketahui umum. Sejak 1949 hanya sebanyak 50 jawatankuasa sebegini telah ditubuhkan.

Suruhanjaya perkhidmatan ketenteraan

Suruhanjaya perkhidmatan ketenteraan ialah satu organ Bundestag yang bertanggungjawab mengawal gerak kerja angkatan tentera. Tugas-tugasnya termasuk mendengar aduan ahli-ahli angkatan tentera (lazimnya di luar saluran perkhidmatan) dan memastikan hak asasi askar dijaga sebagaimana menurut peruntukan perlembagaan. Sekaligus kuasa sebegini menunjukkan bahawa hanya parlimen berkuasa ke atas angkatan tentera.

Kawalan ke atas organ perisikan persekutan

Jawatankuasa kawalan parlimen ditubuhkan terdiri daripada ahli-ahli parlimen dengan tanggungjawab mengawal kerja badan perisikan persekutuan iaitu, Perkhidmatan Perisikan Persekutuan (Bundesnachrichtendienst (BND)), Perisikan Tentera (Militärische Abschirmdienst (MAD)) dan Pejabat Persekutuan bagi Perlindungan di bawah Perlembagaan (Bundesamt für Verfassungschütz (BfV)). Ahli-ahli jawatankuasa ini walaubagaimanapun dimestikan menyimpan rahsia-rahsia kerajaan yang terbabit.

Pendakwaan ke atas badan kerajaan

Bersama-sama dengan Bundesrat, parlimen berhak mendakwa Presiden Persekutuan di Mahkamah Perlembagaan Persekutuan apabila beliau melanggar perlembagaan atau mana-mana undang-undang persekutuan. Pendakwaan hanya boleh dilakukan setelah mendapat sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada keahlian parlimen. Parlimen tidak boleh melucutkan jawatan presiden kerana ia bukanlah satu-satunya badan yang melantik presiden. Badan tersebut iaitu Majlis Perhimpunan Persekutuan tidak boleh dipanggil semula untuk memecat presiden. Maka urusan pendakwaan dibawa kepada mahkamah ini yang sering dianggap sebagai Senat Kedua dalam sistem politik di Jerman.

Pada masa yang sama, parlimen tidak berhak memecat ahli-ahli kabinet eksekutif kerana mereka dipilih oleh canselor dan kadangkala bukan ahli parlimen. Parlimen hanya boleh memecat canselor melalui undi percaya atau tidak percaya sekaligus memecat seluruh kabinet.